Friday, January 19, 2007

Sukan Malam – gaya hidup baru belia

BARU-baru ini Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said mengumumkan pelancaran Sukan Malam atau Night Sports sebagai satu lagi peluang mengisi masa lapang di kalangan belia di negara ini. Sukan Malam itu akan menawarkan kemudahan untuk sukan konvensional seperti bola jaring, futsal, go-kart dan motosikal.
Indeks Belia Malaysia menunjukkan keterlibatan golongan muda dalam aktiviti rekreasi dan sukan adalah rendah iaitu kurang 30 peratus. Ini tidak bermakna golongan muda tidak berminat dengan aktiviti masa lapang yang positif. Minat mereka terhadap aktiviti masa lapang adalah tinggi iaitu di sekitar 80 peratus. Persoalannya kenapakah terdapat jurang antara minat dengan tingkah laku sebenar mengisi masa lapang? Dua faktor mungkin mempengaruhi jurang tersebut iaitu kekurangan tempat yang sesuai dan juga masa lapang yang tidak sesuai.
Dari segi kemudahan sukan, telah banyak diwujudkan baik yang dikendalikan oleh kerajaan ataupun kini oleh pihak swasta. Usaha mewujudkan Sukan Malam ini bertujuan menyelaraskan antara permintaan untuk bersukan dan berekreasi dengan penyediaan tempat yang sesuai. Dalam istilah ekonomi ia dikatakan sebagai mencari keselarasan antara penawaran kemudahan sukan dengan permintaan untuk bersukan di kalangan golongan muda.
Kita perlu melihat pelancaran Sukan Malam sebagai satu daya inovatif bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan golongan belia menjalani satu gaya hidup yang cergas dan sihat. Kita tidak boleh melihat Sukan Malam sebagai sesuatu yang negatif yang akan menggalakkan belia keluar rumah di waktu malam dan terbabit dengan salah laku.
Negara kita telah berkembang pesat dalam pembangunan ekonomi. Selaras dengan itu telah muncul masyarakat kelas menengah yang dengan sendirinya mengubah gaya hidup mereka.
Gaya hidup masyarakat Malaysia sendiri turut berubah. Pola waktu bekerja, waktu santai dan waktu bersukan juga mengalami perubahan. Begitu juga jenis-jenis sukan dan aktiviti rekreasi juga mengalami perubahan. Anak-anak muda mula meminati sukan-sukan yang bukan tradisional di negara ini. Mereka meminati permainan futsal yang sering kali diadakan di waktu malam.

Kalau di negara Barat aktiviti rekreasi mereka dipengaruhi oleh musim-musim tertentu. Pada musim panas mereka menumpukan lebih kepada sukan di padang dan pada musim sejuk mereka lebih tertumpu kepada sukan dalam dewan. Oleh kerana negara kita tidak bermusim, ada baiknya kita mengoptimumkan masa lapang golongan belia dengan memberikan mereka peluang berekreasi di waktu malam kerana mereka mempunyai banyak masa yang terluang pada waktu berkenaan.

Gaya hidup golongan belia kelas menengah ini yang banyak terdapat di bandar sudah banyak berubah. Mereka semakin berminat dengan aktiviti sukan yang baru seperti futsal, bola keranjang dan sukan bermotor.

Pengaruh media yang menyiarkan perlawanan secara langsung dari luar negara turut mempengaruhi minat mereka.

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia juga mendapati belia di negara ini akan menggunakan masa selama lapan jam untuk bekerja atau bersekolah, enam jam untuk tidur, empat jam sebagai waktu senggang, tiga jam membuat kerja-kerja menghias diri dan mengemas tempat kediaman, dan tiga jam lagi sebagai masa lapang yang tidak diperuntukkan untuk aktiviti yang khusus.

Sukan Malam yang dianjurkan oleh KBS adalah satu pendekatan pembangunan belia positif untuk mengisi waktu senggang golongan belia.

Golongan belia diberikan alternatif untuk mengisi masa lapang mereka pada waktu malam. Belia yang dapat mengalami pembangunan positif akan lebih berkemungkinan tidak akan terbabit dengan salah laku negatif.

Kita mesti keluar daripada peranggu minda yang sedia ada. Kita perlu melihat secara positif sesuatu yang inovatif dan kreatif.

Sukan Malam adalah satu inovasi untuk menyelaraskan permintaan aktiviti waktu senggang dengan penyediaan kemudahan sukan bagi mengoptimumkan pembangunan belia yang cergas, sihat dan bersatu.

– PROF. DR. SAMSUDIN A. RAHIM
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Thursday, January 18, 2007

Program Sukan Malam galak remaja berpeleseran

Program Sukan Malam bakal menambahkan aktiviti berpeleseran dan keluar malam bagi golongan remaja serta menggalakkan lagi mat rempit melibatkan diri dalam dunia perlumbaan permotoran.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidik dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, walaupun Sukan Bermotor Malam diadakan di kawasan khas, namun realitinya ia masih berlumba.

‘‘Sepatutnya, bagi menangani masalah itu, suatu pendekatan lain yang boleh mengalihkan minat ke arah perlumbaan permotoran perlu difikirkan,’’ katanya.

Selain itu, menurutnya, program ini hanya diadakan di bandar-bandar besar, bagaimana pula dengan luar bandar yang turut mempunyai masalah mat rempit.

‘‘Golongan ini akan tetap mengadakan lumba haram kerana kerajaan mengiktiraf perlumbaan seperti itu dengan mengadakan satu tempat khas untuk berlumba.

‘‘Program ini turut mengundang masalah keluar malam bagi golongan remaja. Ini menyukarkan ibu bapa mengawal tingkah laku golongan berkenaan kerana mereka akan memberi alasan untuk menyertai program sukan tetapi pergi ke tempat lain.

‘‘Begitu juga dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal sehingga timbul masalah sosial lain yang menggambarkan imej remaja tidak sihat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aktiviti

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai program Sukan Malam yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan semalam bagi menangani masalah mat rempit di kalangan remaja.
Menterinya, Datuk Azalina Othman Said berkata, program tersebut diyakini dapat mengatasi masalah penagihan dadah dan penglibatan belia di kelab-kelab malam.

Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Dr. Rajiee Hadi turut bersetuju dengan pendapat Mariani.

Katanya, pada waktu malam adalah waktu untuk berehat setelah bekerja atau menjalankan aktiviti pada siang hari.

‘‘Sepatutnya, golongan remaja ini digembleng tenaga dalam meningkatkan produktiviti dan sekali gus menambahkan modal insan.

‘‘Kementerian tidak seharusnya menggalakkan mereka berfoya-foya dengan aktiviti yang boleh meletihkan pada waktu malam.

‘‘Cukuplah aktiviti sukan yang diadakan pada waktu petang,’’ ujarnya.

Beliau berkata: ‘‘Kelihatan program ini terlalu mengikut kehendak mat rempit, sudahlah mereka berminat untuk berlumba, kita galakkan pula mereka berbuat demikian serta menyediakan tempat khas.