Thursday, January 18, 2007

Program Sukan Malam galak remaja berpeleseran

Program Sukan Malam bakal menambahkan aktiviti berpeleseran dan keluar malam bagi golongan remaja serta menggalakkan lagi mat rempit melibatkan diri dalam dunia perlumbaan permotoran.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidik dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, walaupun Sukan Bermotor Malam diadakan di kawasan khas, namun realitinya ia masih berlumba.

‘‘Sepatutnya, bagi menangani masalah itu, suatu pendekatan lain yang boleh mengalihkan minat ke arah perlumbaan permotoran perlu difikirkan,’’ katanya.

Selain itu, menurutnya, program ini hanya diadakan di bandar-bandar besar, bagaimana pula dengan luar bandar yang turut mempunyai masalah mat rempit.

‘‘Golongan ini akan tetap mengadakan lumba haram kerana kerajaan mengiktiraf perlumbaan seperti itu dengan mengadakan satu tempat khas untuk berlumba.

‘‘Program ini turut mengundang masalah keluar malam bagi golongan remaja. Ini menyukarkan ibu bapa mengawal tingkah laku golongan berkenaan kerana mereka akan memberi alasan untuk menyertai program sukan tetapi pergi ke tempat lain.

‘‘Begitu juga dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal sehingga timbul masalah sosial lain yang menggambarkan imej remaja tidak sihat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aktiviti

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai program Sukan Malam yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan semalam bagi menangani masalah mat rempit di kalangan remaja.
Menterinya, Datuk Azalina Othman Said berkata, program tersebut diyakini dapat mengatasi masalah penagihan dadah dan penglibatan belia di kelab-kelab malam.

Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Dr. Rajiee Hadi turut bersetuju dengan pendapat Mariani.

Katanya, pada waktu malam adalah waktu untuk berehat setelah bekerja atau menjalankan aktiviti pada siang hari.

‘‘Sepatutnya, golongan remaja ini digembleng tenaga dalam meningkatkan produktiviti dan sekali gus menambahkan modal insan.

‘‘Kementerian tidak seharusnya menggalakkan mereka berfoya-foya dengan aktiviti yang boleh meletihkan pada waktu malam.

‘‘Cukuplah aktiviti sukan yang diadakan pada waktu petang,’’ ujarnya.

Beliau berkata: ‘‘Kelihatan program ini terlalu mengikut kehendak mat rempit, sudahlah mereka berminat untuk berlumba, kita galakkan pula mereka berbuat demikian serta menyediakan tempat khas.

1 comment:

Anonymous said...

Sepatutnya Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidik dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor dan Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Dr. Rajiee Hadi perlu melihat usaha ini sebagai satu usaha yang positif dan tidak terus melebelkan program ini sebagai satu program yang tidak baik kerana ianya akan menggalakan anak-anak muda berpeleseran.

Mereka juga perlu melihat kepada objektif sukan malam ini diadakan di waktu malam dan bukan di waktu siang seperti yang mereka mahukan.

Tujuan utama kementerian belia dan sukan bukan lah untuk mencari pengisisan masa remaja di malam hari kerana di siang hari mereka telah mempunyai banyak aktiviti mereka sendiri dan siang bukanlah masalah yang mahu di tangani.

Fokus sebenar kita sekarang adalah malam dan bukan nya siang.

Jika kita mahu menangani masalah remaja di malam hari , apakah kita perlu mengadakan program di siang hari ?

Mengenai mat rempit pula Dr Mariani mengambil jalan mudah seperti yang lain hanya mahu menyalahkan mat rempit tanpa sebatang solution untuk mendekati mereka.

‘‘Sepatutnya, bagi menangani masalah itu, suatu pendekatan lain yang boleh mengalihkan minat ke arah perlumbaan permotoran perlu difikirkan,’’ kata mereka.

Namun sehingga hari ini mereka tidak pernah memberikan satu cadangan atau melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini dan apabila ada pihak lain yang mahu melakukan , mereka menentang dan mengatakan bahawa ini adalah merupakan satu program yang tidak baik.

Aktiviti sukan di malam hari ini adalah lebih baik dari tiada sebarang aktiviti yang dia adakan.

Jika tidak remaja akan tetap keluar dan berpeleseran di merata-rata tempat di malam minggu dan hari-hari Malaysia. Inilah golongan yang sebenarnya yang mahu di berikan perhatian.

‘‘Kelihatan program ini terlalu mengikut kehendak mat rempit, sudahlah mereka berminat untuk berlumba, kita galakkan pula mereka berbuat demikian serta menyediakan tempat khas.

Adalah lebih baik kita menyediakan tempat khas untuk mereka berlumba daripada mereka berlumba di jalan-jalan raya yang akan mengakibat kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain .

Jika kita mahu mempersoalkan mengenai remaja menipu ibu bapa untuk ke tempat lain, Apakah tanpa sukan ini mereka tidak boleh melakukannya. .

Mengapa Dr Mariani tidak pernah mempertikaikan remaja yang bermain futsal di pusat sukan futsal sehingga jam 3 pagi. Apakah mereka ini berpeleseran atau sememangnya Dr Maraiani tidak tahu bahawa ada banyak pusat futsal yang beroperasi sehingga lewat malam.

Apakah lebih baik remaja ini menyaksikan konsert rock, lepak di tepain jalan , lepak di kelab-kelab malam taua disco-disco dari bersukan malam. Kalau mereka mahu tipu ibu bapa mereka tanpa sukan ini pun mereka menipu.